Tuesday, May 26, 2009

RM200,000 dana pendidikan Koperasi Ukhwah


YAN: Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Koperasi Ukhwah) memperuntukkan lebih RM200,000 setahun untuk menjalankan pelbagai program pendidikan dan kebajikan di seluruh negara.

Pengerusinya, Mustapa Kamal Maulut, merangkap NYDP ANGKASA berkata dana itu adalah hasil sumbangan setiap ahli Koperasi Ukhwah yang menderma sebanyak RM8 setahun melalui yuran khairat kebajikan.

Beliau berkata, melalui Skuad Uhkwah di Hatiku yang ditubuh pada Mac lalu, dana itu akan disalurkan untuk pelbagai program pendidikan dan kebajikan bagi membantu golongan masyarakat yang memerlukan bantuan termasuk golongan kurang upaya dan miskin.

Surau berumur 60 tahun dibaik pulih oleh Koperasi UKHWAH untuk dimakmurkan
oleh penduduk kampung itu,

"Program membaiki pulih Surau Kampung 18 Luar di sini dan sumbangan kepada golongan miskin adalah antara program kebajikan yang pertama dianjur oleh skuad ini sepanjang dua hari berada di Kedah dan Perlis.

“Kedah adalah destinasi pertama program ini dijalankan dan sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk membaikpulih dan menyelenggara surau yang berusia hampir 40 tahun ini selepas mendapat persetujuan daripada ahli jawatankuasa dan pengasas surau, Abdul Ismail," katanya selepas merasmikan program terbabit di Kampung 18 Luar, Guar Chempedak di sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Majlis Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Rahim Baba dan 50 kaki tangan Koperasi Ukhwah yang berkonvoi dari Kuala Lumpur untuk menyertai pogram berkenaan.

Mustapa berkata, selain sumbangan kepada empat keluarga miskin di kampung itu, pihaknya turut membayar elaun kepada seorang guru yang membuka kelas agama di surau berkenaan.

Upacara penyerahan surau dilakukan dengan pembinaan papan tanda surau oleh Imam Masjid Guar Chempedak dan NYDP Angkasa, Hj Mustapa Kamal.


Katanya, selain itu pihaknya memperuntukkan sebanyak RM20,000 untuk membina sebuah rumah untuk penduduk miskin di Kampung Selamat, Padang Lembu, Pendang yang termasuk dalam program kebajikan skuad terbabit.

Katanya, Skuad Ukhwah akan menjalankan program terbabit di seluruh Malaysia untuk mendekati masyarakat terutama di luar bandar disamping mengenalpasti permasalahan yang berlaku sebelum menyampaikan sumbangan dalam kepada penduduk di situ.

"Pada bulan depan, skuad ini akan turun mendekati penduduk Orang Asli di Temerloh dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Skuad UKHWAH di hatiku adalah skuad kebajikan Koperasi UKHWAH yang berjalan ke seluruh tanahair sambil meninjau peluang untuk melakukan program kebajikan yang effektif kepada masyarakat... sedang menikmati jamuan bersama orang kampung ketika penyerahan surau di atas.

"Program ini memberi peluang kepada kakitangan Koperasi Ukhwah untuk memahami budaya masyarakat dan permasalahan setempat selain menjalankan tanggungjawab sosial organisasi," katanya.

Berita Harian, 25 Mei 2009