Wednesday, May 27, 2009

Koop Ukhwah siapkan rumah pesakit strok


KAMPUNG SELAMAT - Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Koperasi Ukhwah) melalui 'Skuad Ukhwah di Hatimu' telah menyiapkan sebuah rumah kepada pesakit strok (angin ahmar), Mihat Kasim, 53, yang hidup menderita sejak lapan tahun lalu.

Ini adalah pondok asal kediaman En Mihat bersama isteri dan 4 orang anak.
Bekalan air dari anak sungai dan bercahayakan pelita ... kasihan.
Negara Malaysia sudah maju tetapi masih ada warganya yang masih dhaif.

Pengerusi Koperasi Ukhwah, Mustapa Kamal Maulut berkata, kos menyiapkan rumah Mihat yang terbengkalai akibat dia tidak mampu meneruskan pembinaan rumah itu setelah dia jatuh sakit adalah sebanyak RM30,000.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana telah memberi maklumat dan bekerjasama dengan Koperasi Ukhwah untukmembantu golongan kurang berkemampuan seperti Mihat. Kerjasama ini perlu dijalankan berterusan kerana dengan cara ini, Koperasi Ukhwah dapat mengenal pasti individu yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Mihat di sini, kelmarin.


Upacara simbolik menyiapkan rumah En. Mihat. Pengerusi Koperasi UKHWAH, merangkap NYDP Angkasa, Hj Mustapa Kamal b Maulut sedang mengecat dinding rumah.

Hadir sama, Dato'Rahim Baba SKM, Datuk Noraini Ahmad Koperasi Puteri serta kakitangan Koperasi Ukhwah.

Mustapa berkata, beliau berharap supaya semua anak-anak Mihat dapat meneruskan pelajaran dalam keadaan yang sempurna setelah menghuni rumah baru itu.

"Saya harap mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan kerana dengan cara itu, mereka akan dapat mengubah nasib keluarga kelak," katanya.



Rumah baru pemberian UKHWAH masih belum mempunyai bekalan air dan elektrik. UKHWAH meyeru agar pihak Syarikat Bekalan Air dan TNB menyegerakan pembekalan kepada penduduk kawasan ini.

Sebelum mi, Mihat tinggal di sebuah pondok bersama isterinya, Che Siti Said, 50, yang bekerja mengambil upah menoreh getah untuk menyara hidup mereka sekeluarga serta menguruskan kehidupan anak-anak mereka yang masih bersekolah.

Mihat yang bekerja sebagai kelendan lori kayu di sebuah kilang di Padang Lembu, dekat sini, terpaksa berhenti kerja setelah mengidap strok.

Suami isteri itu mempunyai empat anak iaitu Mohd Syukuri, Mohd Zamri, Mohd Hasif dan Mohd Rasyid.

Mohd Syukuri dan Mohd Zamri yang sudah berumah tangga menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja kampung manakala Mohd Hasif dan Mohd Rasyid masih lagi bersekolah.

Sinar Harian -Yan 25 Mei 2009