Sunday, August 23, 2009

Kabinet Tolak Cadangan AG - Awang Adek






Alhamdulillah, hasil usaha berterusan membantah cadangan AG memberi kod potongan kepada bank-bank komersil, akhirnya kabinet bersetuju menolak cadangan tersebut. Ini berikutan dari memorandum yang telah disampaikan kepada YAB Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan KPDNKK.




Tahniah kepada semua penggerak koperasi kredit yang bekerjasama bersama NYDP Haji Mustapa Maulut menyediakan memorandum tersebut.



Keterangan gambar: YB. Senator Datuk Dr. Awang Adek Bin Hussin. Timbalan Menteri Kewangan II sedang menyampaikan wang tunai hasil tabungan hari jumaat Restoran Rakyat 1 Malaysia kepada wakil Rumah Anak-Anak Yatim Bachok, Kelantan.

WAWANCARA KHAS SIARAN LANGSUNG RADIO 24NAIB YANG DIPERTUA ANGKASA









http://www.imeem.com/people/bcyXi3A/music/Yu1SReqX/hj-mustapa-kamal-maulut-nydp-angkasa-radio-24/

Tajuk : Bantahan Kepada Akauntan Negara Memberi Kod Potongan GajiKepada Bank Perdagangan

Tempat : Radio 24 BERNAMA

Tarikh : 10 Ogos 2009 (Isnin)

Jam : 6.30pm – 7.30pm

Segmen : Kerusi Panas

Antara : DJ Azlan Idris & Tn Hj Mustapa Kamal Maulut, NYDP

DJ : Pada petang ini kita ada tetamu iaitu NYDP ANGKASA Hj Mustapa Kamal Maulut (MKM) untuk membincangkan isu yang panas membabitkan ramai pihak. Sebelum kita pergi dengan lebih jauh lagi,boleh ceritakan apakah sejarah ANGKASA dan apa itu ANGKASA untuk pengetahuan semua?

NYDP MKM : Saya Hj Mustapa Kamal Maulut NYDP ANGKASA, hari ini ingin membincangkan isu yang panas ini. ANGKASA ditubuhkan pada 38 tahun yang lalu dan berperanan sebagai mekanisma kod potongan gaji kakitangan kerajaan. Kakitangan kerajaan yang ingin meminjam dengan gerakan koperasi membayar balik ansuran bulanan melalui ANGKASA, yang menyediakan mekanisma yang kelengkapan IT yang lengkap dan canggih, sehingga ke saat ini potongan gaji berjalan dengan lancar tanpa kehilangan walau 1 sen pun.

DJ : ANGKASA telah berjasa selama 38 tahun kepada kakitangan kerajaan?

NYDP MKM : Ya, kakitangan kerajaan telah bersandar dengan ANGKASA dalam menguruskan kewangannya telah sekian lama, yang mana sebenarnya ada faedahnya melalui ANGKASA dengan gerakan koperasi kerana kadang-kadang kakitangan kerajaan ada kesulitan untuk terus meminjam kepada bank kerana mempunyai saringan-saringan seperti CITOS dan CRIS. Dengan adanya gerakan koperasi mereka dipelawa menjadi anggota koperasi dan diberi bantuan pembiayaan kewangan peribadi, lantas dengan itu pembayaran balik mereka itu berjalan lancar sepanjang kehidupan mereka tanpa sebarang masalah.

DJ : Berapa ramai mereka yang mendapat faedah daripada ANGKASA?

NYDP MKM : Untuk masa ini, seramai 1.2 juta orang kakitangan kerajaan dan mereka ini adalah anggota ahli-ahli koperasi dari pejabat mereka masing-masing. Setiap jabatan mempunyai koperasi masing-masing dan mereka menjadi ahli-ahli koperasi, lantas meminjam daripada koperasi yang mereka anggotai dan bayaran balik itu terus dipotong dari Akauntan Negara, terus kepada ANGKASA dan kembali kepada koperasi tanpa masalah.

DJ : Apakah isu sebenarnya pada petang ini?

NYDP MKM : Kami terkejut kerana pada tahun 2009 ini, tiba-tiba Akauntan Negara ingin memberi kod potongan gaji langsung kepada bank-bank perdagangan, ini bererti bahawa duit-duit potongan gaji atau ansuran itu nanti tidak perlu pergi kepada ANGKASA dan koperasi, akhirnya 1.2 juta anggota koperasi akan berhijrah kepada bank perdagangan. Ini akan menguntungkan bank-bank perdagangan tetapi ANGKASA dan gerakan koperasi langsung tidak mendapat faedah.

DJ : Berapakah jumlah kehilangan dalam bentuk RM sekiranya perkara ini berlaku?

NYDP MKM : Pada saat ini lebih kurang RM 65 juta keuntungan kasar dan setelah ditolak semua perbelanjaan pengurusan dan perkhidmatan ANGKASA, hanya memberi keuntungan sedikit sahaja lebih kurang pada RM 5 juta sahaja setahun. Jumlah sebenar yang akan hilang adalah sebanyak RM65 juta. Jumlah itu adalah keuntungan kasar daripada komisen potongan gaji daripada Akauntan Negara. ANGKASA mewujudkan perkhidmatan secara percuma kepada kakitangan kerajaan, membayar overhead seperti gaji,sewaan dan tanggungan ANGKASA yang lain. Dan akhirnya kita tidak membawa untung yang besar sebenarnya, semua keuntungan yang diperolehi ANGKASA dikembalikan balik kepada masyarakat dan khususnya kakitangan kerajaan. Ini terbukti sejak 38 tahun ANGKASA telah mengadakan perkhidmatan yang baik dan berguna kepada masyarakat.

DJ : Kita masih bersama NYPD ANGKASA Tn. Haji Mustapa Kamal Maulut bagi membincangkan isu berhubung dengan membantah cadangan Pejabat Akauntan Negara agar diwujudkan perkhidmatan potongan gaji penjawat awam kepada bank secara langsung. Mungkin mereka yang menjawat jawatan awam lebih peka dengan isu ini. Setelah 38 tahun memberikan begitu banyak faedah, kenapa polisi ini mahu dilaksanakan?

NYDP MKM : Secara umumnya bahawa gerakan koperasi di Negara ini terdiri lebih daripada 6 ribu buah koperasi dan dianggotai oleh lebih 6 juta rakyat Malaysia. Dalam 6 juta itu 1.2 juta adalah penjawat awam. Ertinya selama ini ANGKASA telah mengembalikan faedah keuntungan itu kepada masyarakat. Antara faedah yang dapat diberikan kepada masyarakat khususnya kakitangan kerajaan adalah:i. menyelamatkan masyarakat daripada terpedaya dengan pinjaman’Ah Long’.ii. Menyediakan pinjaman kebajikan dari koperasi kepada masyarakat termasuk kakitangan kerajaan.iii. Menyediakan pinjaman untuk memulakan perniagaan dan keusahawanan.iv. Memberi sumbangan dan pinjaman biasiswa kepada pelajar dan khusus dalam hal ini, ANGKASA mengeluarkan pinjaman boleh ubah yang dipanggil ’TAPAK’ dan tiap-tiap tahun ANGKASA memperuntukkan lebih RM500 ribu untuk pinjaman kepada anak anggota koperasi di Malaysia ini.v. Mengadakan kursus dan latihan secara percuma kepada masyarakat dalam pelbagai modul seperti bimbingan keusahawanan dan bina insan yang mana ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat kita yang tahu dalam hal-hal keusahawanan.vi. Membantu fakir miskin dalam masyarakat sekaligus mengurangkan kemiskinan tegar dalam masyarakat.vii. Gerakan koperasi menyumbangkan kepada ekonomi negara dalam sektor yang ke 3. Kalau dengan sebegini banyak yang kita telah curahkan kepada masyarakat khususnya kakitangan kerajaan, saya rasa tidak sayogianya faedah ini direntap dengan begitu saja. Sekaligus seolah-olah ada unsur dan cita-cita ingin membunuh koperasi dalam sekelip mata.

DJ : Kenapakah ianya direntap?tetapi sebelum itu kita ada pemanggil.

Pemanggil pertama- Khairul Amin, dari Koperasi Muslimin Malaysia Bhd

Pertamanya saya menyokong supaya perkara ini jangan diberikan kepada mana-mana bank. Daripada keuntungan yang diperolehi itu, ada yang akan ANGKASA bagi secara percuma kepada rakyat dan bezanya dengan bank perdagangan yang hanya mendapat untung untuk mereka sahaja dan tiada sumbangan kepada rakyat?

NYDP MKM : Di sini saya ingin jelaskan lagi apa yang membezakan ANGKASA dengan bank-bank adalah hasil dari keuntungan aktiviti kod potongan ini, digunakan untuk:I. Pembayaran gaji,II. Pembayaran overhead,III. Mengadakan kursus-kursus secara percuma seperti kursus aircondition, kursus membuat kek dan kuih, kursus membela ikan keli, kursus bertani, kursus usahawan kecil seperti membuat kerepek dan kursus berkenaan pelaburan.

DJ : Berapa ramai yang terlibat? NYDP MKM : Hingga kini tidak kurang daripada 7 ribu orang yang terlibat dalam kursus ini.

DJ : Kenapa jumlahnya sedikit berbanding dengan 1.2 juta kakitangan awam yang menganggotai ANGKASA?

NYDP MKM : Kita harus faham bahawa kakitangan kerajaan ini, mereka tidak mempunyai masa lapang untuk mengikuti kursus walaupun kita sentiasa membuka peluang kepada mereka untuk mengikuti kursus-kursus ini. Dalam pada itu pun mungkin ada satu kekangan bahawa kakitangan kerajaan tidak seharusnya terlibat secara aktif dalam perniagaan, biarpun demikian ada faedah- faedah lain yang kita curahkan seperti faedah kebajikan dan pembelajaran. Sebagai contoh, ada satu koperasi yang menyediakan kebajikan kepada ahli- ahlinya apabila datang dari jauh seperti Kelantan, Kedah, atau Johor ke Kuala Lumpur, mereka akan mendapat kemudahan penginapan yang istimewa dengan harga berpatutan sekadar RM20 atau RM10. Ahli-ahli kakitangan kerajaan yang datang ke Kuala Lumpur, mereka disediakan dengan limosin secara percuma dan disediakan kemudahan sewa kereta dengan subsidi.





Pemanggil kedua- En. Sulaiman, dari Koperasi Kakitangan BSN

Adakah pihak kerajaan berbincang terlebih dahulu dengan sedalam-dalamnya mengenai apakah tindakan yang hendak di ambil sekarang ini?

NYDP MKM : Untuk setakat ini, selama saya berada di ANGKASA kita tidak pernah dijemput berbincang tentang idea Akauntan Negara untuk memberi potongan gaji kepada bank-bank malahan kami sendiri yang membuat mesyuarat dan menghantar memorandum kepada Akauntan General di Kementerian Kewangan tetapi sehingga kini tidak dilayan. Bahkan pada hari Jumaat yang lalu, kita telah menghantar memorandum kali ke 2 kepada Pejabat Perdana Menteri. Memorandum ini disampaikan kepada Pejabat Perdana Menteri dan diterima oleh Pegawai Khas Perdana Menteri Dato’ Nasir Bin Safar. Dalam isi memorandum itu kami membantah agar Akauntan Negara memberi kod potongan gaji kepada bank-bank, kerana sedia maklum apabila perkara ini berlaku banyak kemusnahan akan berlaku kepada gerakan koperasi. Sebagai contoh, keanggotaan koperasi 1.2 juta akan berpindah kepada bank- bank di mana mereka akan menjalankan aktiviti ’refinancing’. Pada waktu itu, sekaligus pegawai-pegawai kerajaan akan beratur di depan pejabat- pejabat koperasi ingin menuntut balik wang-wang modal syer, yuran dan pelaburan mereka secara mendadak. Ini akan berlaku seperti mana dahulu kita pernah alami di mana koperasi CCB runtuh begitu sahaja.



DJ : Berapakah jumlah sekiranya mereka beratur dan meminta pelaburan yang mereka laburkan?

NYDP MKM : 1.2 juta anggota x RM 100, itu sebagai modal syer. Ini bererti sebanyak RM 120 juta dan tidak ada kecairan yang ada pada tangan koperasi secara mengejut.

DJ : Kenapa ada cubaan ataupun kenapa ia mahu dilaksanakan?

NYDP MKM : Gerakan koperasi dianggotai oleh 95% bumiputera, apabila malapetaka ini berlaku, saya mengaggap bahawa satu sektor keusahawanan bumiputera akan tumbang sekaligus usaha meningkatkan diri dalam bidang keusahawanan ini akan terkubur. Ini menjelaskan lagi apabila MECD dibubarkan seolah- olah gerakan koperasi hilang punca walaupun gerakan koperasi berjaya menamakan kembali di dalam KPDN, Koperasi dan Kepenggunaan. Lantas saya ingin menjawab soalan tadi, sesetengah pihak melihat bahawa keuntungan besar itu harus mereka garapkan juga, ada satu pihak yang tertentu mengusulkan membuat satu syarikat sepertimana ANGKASA dengan mereka menawarkan propaganda murah iaitu RM 1 setiap transaksi sedangkan ANGKASA hanya mengenakan kadar dalam 0.6% sahaja.





DJ : Bagaimana pengiraan RM 1 setiap transaksi?

NYDP MKM : Setiap transaksi seseorang membayar balik ansuran bulanannya seperti RM 200 atau RM 300, hanya dikenakan charge RM 1, maka dengan RM 1 itulah mereka akan berkongsi antara Akautan Negara dan juga syarikat yang telah dikenalpasti yang disebut-sebut oleh pihak bank adalah MYEG.com, ertinya mereka akan mendapat komisen RM 1.2 juta sebulan. Sebenarnya jumlah itu mengikut pengalaman kami di ANGKASA tidak cukup untuk mengendalikan sistem yang begitu hebat dan perlukan kecanggihan. Jadi kita khuatir bahawa usaha yang di buat oleh Akauntan Negara dan MYEG.com ini akan kecundang di akhirnya nanti dan habis hilang duit-duit kakitangan kerajaan.

Pemanggil ketiga- En. Abdul Rahman

Saya membuat pinjaman dengan salah sebuah bank. Saya dapati bahawa pinjaman yang di buat melalui bank itu telah dipotong oleh ANGKASA, jadi saya mahu tahu kenapa perkara ini terjadi? Saya adalah kakitangan kerajaan dan meminjam di dua buah bank iaitu Bank Rakyat dan Bank Agro. Potongan itu bermula pada tahun 2006 dan 2008. Jadi saya tidak menyangka bahawa kedua-dua pinjaman ini akan berakhir di ANGKASA. Di sini saya mahu tahu, berapakah yang ANGKASA ambil? Dan sekiranya tanpa potongan ANGKASA, adakah harga itu direndahkan atau lebih tinggi atau sebagainya?

NYDP MKM : Pada asalnya dahulu, gerakan koperasi ini adalah gerakan jimat cermat, pinjam meminjam dan dana mereka itu adalah daripada anggota- anggota koperasi ini menyimpan duit, tetapi sebenarnya style begitu adalah hanya boleh menghasilkan dana yang sedikit sahaja. Tapi demi keperluan masyarakat ini berkembang dan keperluan perbelanjaan yang besar, koperasi ini tidak cukup dana untuk manampung keperluan. Ini sangat bahaya, kerana kalau koperasi tidak cukup dana itu, maka masyarakat akan meminjam pada ’Ah Long’. Ini satu malapetaka yang lebih besar. Maka sudah ada satu bentuk smart partnership di antara koperasi dengan bank, maka bank- bank sudi untuk manawarkan pinjaman dana kepada koperasi. Faedah yang utama adalah bank- bank dan koperasi, juga masyarakat akan mendapat ’win win situation’. Bank akan keluarkan dana dan koperasi boleh mencairkan kepada masyarakat dan memberi pulangan dari segi faedah- faedah yang pelbagai. Sebaliknya kalau terus kepada bank, bank hanya mengutip keuntungan tanpa memberi faedah kebajikan kepada masyarakat. Jadi, dana-dana yang diberikan oleh bank tadi di ’parking’kan di koperasi- koperasi. Koperasi pula memberikan pinjaman itu kepada kakitangan kerajaan. Apabila seseorang kakitangan kerajaan itu mengisi borang keahlian sekaligus mereka memohon untuk mendapatkan pinjaman. Maka agreement itu akan di pegang bersama oleh koperasi dan pihak bank. Koperasi memegang ‘agreement’ itu demi untuk menjaga keahlian dan bank juga sebagai ampunya dana juga memegang agreement itu.


Pemanggil keempat- En. Osman Omar, dari Kelang

1. Kenapa YDP ANGKASA tidak berada di tempat Tn Hj sekarang ini?2. Kalau berlaku bantahan ini tidak diterima, apakah tindakan koperasi?3. Kenapa semua koperasi ini kalau kita nampak apa yang telah diperkatakan tadi boleh menimbulkan banyak masalah, kenapa tidak semua koperasi yang ada sebanyak 6 ribu itu terang- terangan membantah kepada kerajaan?

NYDP MKM : YDP Y.Bhg Dato’ Rahim Bakar berada di India bersama beberapa orang Ahli Lembaga yang lain kerana menghadiri perhimpunan ICCA international di India dan saya telah dipertanggungjawabkan untuk tampil di radio untuk menjawab beberapa isu potongan gaji di ANGKASA. Dahulu kita telah adakan satu perhimpunan koperasi kredit dan mengusulkan serta mengeluarkan satu memorandum dan telah dihantar. Baru- baru ini juga, YDP sudah mengeluarkan pressconference pada hari jumaat dan pada hari itu juga saya dan rakan koperasi kredit telah menghantar satu memorandum ke Putrajaya. Andaikata perkara ini tidak berhasil juga, MASSA akan digerakkan untuk terus membantah untuk menyelamatkan gerakan koperasi. Apabila bank- bank ini diberi kod potongan gaji, bukan sahaja koperasi kredit yang akan tumpas malah Bank Rakyat juga akan gulung tikar, kerana beberapa bank swasta atau konvensional, mereka mempunyai dana yang begitu murah iaitu pada kadar 0 %, kerana mereka mengambil daripada akaun semasa sahaja, sedangkan Bank Rakyat mengambil daripada deposit- deposit daripada ahlinya, ertinya ada kos. Bank Rakyat hanya mampu memberi kadar keuntungan 5%- 7% dan bank perdagangan mampu memberi 2%, saya rasa by the end of the year, ANGKASA akan tutup.Gerakan MASSA akan digerakkan ke arah memberi bantahan kepada pihak kerajaan agar memberhentikan niat Akauntan Negara daripada cita-citanya. Walaubagaimanapun kita menyeru Perdana Menteri Malaysia agar mempertimbangkan dan memberhentikan niat Akauntan Negara itu serta memperuntukkan satu dana stimulous pakej untuk gerakan koperasi menjalankan aktiviti koperasi kredit, kosnya lebih rendah dan banyak faedah kepada masyarakat Malaysia khususnya kakitangan kerajaan dapat ditawarkan oleh gerakan koperasi.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, August 12, 2009

MEMORANDUM KEPADA PM

Tarikh : 6hb. Ogos 2009

Kepada : YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA,
YB MENTERI KEWANGAN 2 MALAYSIA
YB MENTERI KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI &
KEPENGGUNAAN

Dihantar ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya oleh rombongan diketua oleh NYDP Angkasa MKM pada 7 Ogos 2009 dan diterima oleh (sign & cop) Pegawai Khas PM Dato Nasir Safar.



BANTAHAN KEPADA AKAUNTAN NEGARA (AG) MEMBERI KOD POTONGAN PEMBIAYAAN PERIBADI KAKITANGAN KERAJAAN KEPADA BANK

Kami adalah wakil sekumpulan gerakan koperasi di Malaysia, yang mana jumlah koperasi di Malaysia adalah lebih 6000 buah dan dianggotai oleh lebih dari 6 juta rakyat Malaysia.

PENEMUAN :
1. Akhir-akhir ini pihak Akauntan Negara (AG) sudah beberapa kali memanggil pegawai-pegawai bank tempatan dan luar Negara dengan memberi taklimat penawaran kod potongan gaji terus kepada bank.

2. Tawaran kod potongan gaji ini diberikan kepada bank-bank dalam negeri (GLC) dan bank luar Negara (Foreign Bank).

3. Tidak seperti 38 tahun yang lampau dimana kod potongan gaji dikendalikan oleh ANGKASA, sebaliknya pengurusan potongan gaji ditawarkan akan dikendalikan oleh sebuah syarikat seliaan AG yang diberi nama my.eg.com.

4. Tarikh terdekat kod potongan gaji terus oleh bank dijangka pada 15hb. Ogos 2009.

PENAFIAN :
1. Seperti yang didakwa bahawa ANGKASA mendapat komisyen sebanyak RM8.1 bilion setahun adalah tidak benar.

2. ANGKASA menggunakan caj perkhidmatan 2.5% adalah tidak benar.

3. Koperasi menggunakan “paid-out charge” antara 15% – 20% dari jumlah pinjaman adalah tidak benar.

FAEDAH TAMBAHAN AKTIVITI KOPERASI KREDIT :
1. Memberi kemudahan pinjaman kepada kakitangan kerajaan (termasuk ahli CUEPACS) dan rakyat Malaysia.

2. Menyelamatkan masyarakat daripada terpedaya meminjam dari Along yang zalim.

3. Menyediakan pinjaman kebajikan dan emergency kepada masyarakat.

4. Menyediakan pinjaman untuk memulakan perniagaan dan keusahawanan.

5. Memberi sumbangan, pinjaman dan biasiswa kepada pelajar-pelajar.

6. Mengadakan kursus dan latihan secara percuma kepada masyarakat dalam pelbagai modul seperti Bimbingan Keusahawanan dan Bina Insan.

7. Membantu fakir miskin di dalam masyarakat sekaligus mengurangkan kemiskinan tegar di dalam masyarakat.

8. Gerakan koperasi menjadi penyumbang ekonomi Negara sektor ke 3.


IMPLIKASI :
Dengan pemberian kod potongan gaji pembiayaan peribadi terus kepada bank, suatu mala petaka besar akan menimpa gerakan koperasi sekaligus akan member kesan kepincangan yang dasyat kepada kotrak sosial ekonomi kepada Malaysia.

1. Semua ahli sesuatu koperasi kredit akan hilang dengan sekelip mata (overnight). Sebagai contoh, 1.2 juta kakitangan kerajaan yang mendapat pinjaman dari bank akan berpindah secara automatik, menjadi pelanggan bank, sekaligus menjadi ahli koperasi.

2. 1.2 juta kakitangan akan menuntut dikembalikan modal syer (i.e: RM1000 seorang), wang pelaburannya, wang yurannya. Koperasi akan menghadapi kesulitan besar kerana tiada liquidity secukupnya dalam sekelip mata ini.

3. Koperasi akan hilang pendapatan akibat anggota koperasi (peminjam) melakukan full settlement secara mendadak in block kerana mendapat tawaran daripada pihak bank.

4. Koperasi hilang pendapatan untuk membayar gaji kakitangan yang begitu ramai di seluruh Malaysia, kakitangan koperasi terpaksa diberhentikan atau hilang pekerjaan. Akibatnya, berlakulah masalah sosial yang besar bagi Negara.

5. Koperasi hilang pendapatan dan tidak mampu membayar sewa pejabat. Akibatnya, banyak premis-premis pejabat yang kosong tidak digunakan. Ini menggelapkan suasana perniagaan di Bandaraya.

6. Koperasi hilang pendapatan dan tidak mampu untuk membayar ansuran bulanan asset dan property yang dimiliki secara mortgage. Berlakulah proses lelongan yang berleluasa di Negara Malaysia yang mengakibatkan kejatuhan nilai hartanah Negara.

7. Koperasi hilang pendapatan dan mengakibatkan berlakunya kebankrapan kepada banyak koperasi, dan lumpuhlah sektor koperasi di Malaysia.

8. Adalah dimaklumkan bahawa 90% anggota koperasi di Malaysia adalah dari kaum Bumiputera, maka malapetaka ini akan meningkatkan ketidakseimbangan sosio ekonomi di Malaysia.

SARANAN :
Berdasarkan implikasi yang dasyat di atas, dengan ini kami mewakili gerakan koperasi menghantar memorandum penting kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dengan beberapa saranan seperti berikut:

1. Agar YAB Perdana Menteri mengarahkan Akauntan Negara tidak meneruskan niat memberi kod potongan gaji pembiayaan peribadi kepada bank-bank kerana usaha tersebut hanya akan menguntungkan pihak bank perdagangan sahaja, malah bank-bank GLC dan Bank Koperasi akan tewas.

2. Sebaliknya kerajaan memperuntukkan dana (stimulus package) untuk gerakan koperasi menjalankan aktiviti pinjaman koperasi kredit kerana terbukti koperasi kredit mendatangkan kebaikan sosio ekonomi Negara Malaysia.

Alternatif :
Jika tiada pilihan lain maka kami mewakili gerakan koperasi memohon dipanjangkan hayat aktiviti koperasi kredit untuk sementara, seperti tempoh 2 tahun agar koperasi kredit mempunyai persiapan yang secukupnya untuk bertukar perniagaan asas yang selain daripada kredit.


KESIMPULAN
Memorandum ini adalah sangat penting dan tegas dan memohon pihak YAB Perdana Menteri mempertimbangkan dan mengambil langkah sewajarnya untuk menyelamatkan gerakan koperasi secara keseluruhan, selaras dengan semangat 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Tuesday, August 4, 2009

RESTORAN RAKYAT 1 MALAYSIA-KOPERASI UKHWAH

Menteri Koperasi melawat Restoran Ukhwah


ISMAIL SABRI (dua dari kanan) berbual dengan pelancong dari Amerika Syarikat, Barret Parkman dan Jessa Parkman yang makan di Restoran Rakyat 1Malaysia di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan Akta Antikeuntungan Berlebihan tidak lama lagi bagi mengawal peniaga daripada mengaut keuntungan melampau sehingga menjejaskan kepentingan pengguna.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akta tersebut kini dalam peringkat kajian dan kertas kerja mengenainya sedang dilaksanakan.


Sehubungan itu, pihaknya bakal melawat beberapa negara seperti Korea Selatan, Singapura dan Australia bagi mengkaji kaedah terbaik melaksanakan akta tersebut di negara ini.


"Kita akan menghantar para pegawai ke negara tersebut kerana mereka telah mempunyai akta berkenaan dan berjaya dilaksanakan dengan berkesan," katanya selepas meninjau promosi harga murah di Restoran Rakyat 1Malaysia milik Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah) di Lorong Medan Tuanku di sini semalam.
Jelas Ismail Sabri, akta tersebut perlu memandangkan ada peniaga sengaja mengambil untung berlebihan apabila terdapat kenaikan barangan asas atau harga minyak.
Sebagai contoh beliau melihat harga roti canai di negara ini yang berlainan harga dan harga-harga tersebut jauh lebih menguntungan dari kos sebenar.
" Kita lihat ada restoran seperti yang ditunjukkan Ukhwah mampu menurunkan harga roti canai semurah 40 sen sahaja sedangkan ada restoran menjual roti canai sehingga RM1.60," katanya.

Teh tarik, roti canai RM1 di Restoran Rakyat 1Malaysia






KUALA LUMPUR 3 Ogos - Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ditambah dengan harga barangan yang semakin meningkat, RM1 mungkin tidak memberi nilai dalam kehidupan seharian.

Namun, Koperasi Ukhwah membuktikan perniagaan kedai makan boleh memberi pulangan berpatutan kepada pengusaha walaupun mengenakan caj serendah RM1.

Ini terbukti apabila koperasi tersebut membuka Restoran Rakyat 1Malaysia miliknya sendiri di Jalan Medan Tuanku 1 dekat sini.

Restoran yang terletak berhadapan beberapa premis milik koperasi tersebut ibarat kantin kepada kakitangannya dan pilihan terbaik dari segi harga dan sajian kepada pelanggan sekitar.

Pengerusi Koperasi Ukhwah, Mustapa Kamal Maulut berkata, restoran yang dibuka awal bulan lalu itu mula menjadi sebutan warga kota kerana menawarkan set menu istimewanya iaitu RM1 untuk segelas teh tarik dan sekeping roti canai.

Menurutnya, ia jauh lebih murah jika dibandingkan dengan restoran-restoran lain bukan sahaja di sekitar Lembah Klang tetapi dalam negara.

''Apa yang diutamakan di restoran ini adalah kepuasan pelanggan terhadap harga yang dikenakan dan kualiti makanan serta khidmat pelanggan.

''Bertemakan konsep rakyat dan '1Malaysia' restoran ini akan menyediakan pelbagai juadah dalam suasana yang penuh keselesaan dan dengan harga yang berpatutan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan tengah hari di Restoran Rakyat 1Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mustapa berkata, pada hari Jumaat pelanggan hanya perlu mengira sendiri apa yang dimakan dan membayar dengan keikhlasan kerana setiap sen dan ringgit pelanggan akan disumbangkan ke dalam Tabung Masyarakat Prihatin yang disediakan di kaunter bayaran.

Beliau memberitahu, Koperasi Ukhwah telah didaftarkan pada 1998 dan diberi nafas baru pada 2002 sehingga menjadi premis dan pejabat perniagaan terbesar di sekitar Medan Tuanku.

Kata Mustapa, koperasi ialah pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 dengan matlamat meningkatkan kepentingan ekonomi anggotanya melalui aktiviti yang dijalankan berdasarkan prinsip koperasi.

''Gerakan koperasi di Malaysia terus memacu sektor ekonomi negara dengan mencatat keuntungan tahunan berjumlah RM7.6 billion.

''Sebahagian daripada keuntungan koperasi diperuntukkan kepada tabung kebajikan anggota bagi membiayai aktiviti kebajikan seperti tabung pendidikan anak-anak anggota, khairat, kematian dan sumbangan kepada aktiviti kemasyarakatan,'' katanya.




Akta baru kawal peniaga

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISApengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Akta Antipengambilan Keuntungan Berlebihan akan diperkenalkan untuk menyekat peniaga yang sengaja mengambil keuntungan berlebihan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah mengadakan sekatan itu perlu untuk mengurangkan beban pengguna.

Menurutnya, peniaga sengaja mengambil kesempatan kenaikan harga barang asas dengan meningkatkan harga makanan seperti roti canai pada kadar tidak munasabah.

''Akta ini masih dalam perancangan di peringkat kementerian. Ia merupakan usaha kita memantau peniaga-peniaga yang sengaja menaikkan harga secara berlebihan.

''Bulan depan kita akan mula menghantar pegawai kementerian ke negara-negara yang sudahpun mengamalkan akta tersebut seperti di Korea Selatan, Singapura dan China untuk mengkaji dan mendapatkan maklum balas,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan tengah hari di Restoran Rakyat 1Malaysia yang dimiliki oleh Koperasi Ukhwah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Koperasi Ukhwah, Mustapa Kamal Maulut.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pengguna perlu menggunakan kuasa beli mereka dengan memboikot peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati.

Beliau berkata, tindakan sedemikian dapat mengelak pengguna daripada menjadi mangsa peniaga yang tamak dan mementingkan keuntungan semata-mata.

''Sudah sampai masa bagi pengguna mengambil langkah bijak dengan tidak membeli barang yang dijual dengan harga keterlaluan.

''Buatlah perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membeli kerana terdapat banyak pilihan bagi setiap barangan yang hendak kita beli.

''Sebagai pengguna, kita mesti menggunakan kuasa kita untuk memastikan harga barangan yang kita beli bukan ditentukan oleh peniaga semata-mata,'' ujarnya.

Katanya, pengguna juga tidak boleh bergantung kepada kerajaan untuk melindungi kepentingan mereka tetapi harus memainkan peranan bersama.