TAHAP KESELAMATAN DIPERKETATKAN....Beberapa kakitangan Hospital Pulau Pinang mengawal pintu masuk ward 16 yang menempatkan mangsa kedua yang dijangkiti virus Influenza A, H1N1. Foto THE STAR Oleh: ZAINUDIN AHAD.
PUTRAJAYA: Kes kedua influenza A (H1N1) dikesan di Pulau Pinang dan disahkan pagi ini, yang melibatkan rakan kepada pesakit pertama yang dikesan semalam, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat hari ini.
"Pesakit ini adalah rakan kepada pesakit pertama dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang. Beliau kini berada dalam keadaan stabil dan tidak lagi demam," katanya dalam sidang akhbar di sini.
Katanya anggota keluarga pesakit berkenaan juga telah dikuarantin di kediaman mereka untuk tempoh tujuh hari bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan virus tersebut.
"Setakat ini mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.Mengulas lanjut, Dr Ramlee berkata kementerian telah mengenal pasti kesemua kontak yang berada dalam penerbangan yang sama dengan pesakit pertama dan kedua. Penerbangan MH091 yang merupakan destinasi terakhir pesawat terlibat, membawa 192 penumpang dan 15 anak kapal pada tarikh berkenaan, katanya.
"Daripada 192 penumpang, seramai 119 masih berada di negara ini, melibatkan 81 warganegara Malaysia dan 38 bukan warganenegara. Baki 73 penumpang lagi telah meneruskan penerbangan masing-masing ke luar negara pada tarikh yang sama, 13 Mei," katanya.