Tuesday, August 4, 2009

Teh tarik, roti canai RM1 di Restoran Rakyat 1Malaysia






KUALA LUMPUR 3 Ogos - Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ditambah dengan harga barangan yang semakin meningkat, RM1 mungkin tidak memberi nilai dalam kehidupan seharian.

Namun, Koperasi Ukhwah membuktikan perniagaan kedai makan boleh memberi pulangan berpatutan kepada pengusaha walaupun mengenakan caj serendah RM1.

Ini terbukti apabila koperasi tersebut membuka Restoran Rakyat 1Malaysia miliknya sendiri di Jalan Medan Tuanku 1 dekat sini.

Restoran yang terletak berhadapan beberapa premis milik koperasi tersebut ibarat kantin kepada kakitangannya dan pilihan terbaik dari segi harga dan sajian kepada pelanggan sekitar.

Pengerusi Koperasi Ukhwah, Mustapa Kamal Maulut berkata, restoran yang dibuka awal bulan lalu itu mula menjadi sebutan warga kota kerana menawarkan set menu istimewanya iaitu RM1 untuk segelas teh tarik dan sekeping roti canai.

Menurutnya, ia jauh lebih murah jika dibandingkan dengan restoran-restoran lain bukan sahaja di sekitar Lembah Klang tetapi dalam negara.

''Apa yang diutamakan di restoran ini adalah kepuasan pelanggan terhadap harga yang dikenakan dan kualiti makanan serta khidmat pelanggan.

''Bertemakan konsep rakyat dan '1Malaysia' restoran ini akan menyediakan pelbagai juadah dalam suasana yang penuh keselesaan dan dengan harga yang berpatutan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan tengah hari di Restoran Rakyat 1Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mustapa berkata, pada hari Jumaat pelanggan hanya perlu mengira sendiri apa yang dimakan dan membayar dengan keikhlasan kerana setiap sen dan ringgit pelanggan akan disumbangkan ke dalam Tabung Masyarakat Prihatin yang disediakan di kaunter bayaran.

Beliau memberitahu, Koperasi Ukhwah telah didaftarkan pada 1998 dan diberi nafas baru pada 2002 sehingga menjadi premis dan pejabat perniagaan terbesar di sekitar Medan Tuanku.

Kata Mustapa, koperasi ialah pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 dengan matlamat meningkatkan kepentingan ekonomi anggotanya melalui aktiviti yang dijalankan berdasarkan prinsip koperasi.

''Gerakan koperasi di Malaysia terus memacu sektor ekonomi negara dengan mencatat keuntungan tahunan berjumlah RM7.6 billion.

''Sebahagian daripada keuntungan koperasi diperuntukkan kepada tabung kebajikan anggota bagi membiayai aktiviti kebajikan seperti tabung pendidikan anak-anak anggota, khairat, kematian dan sumbangan kepada aktiviti kemasyarakatan,'' katanya.




Akta baru kawal peniaga

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISApengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Akta Antipengambilan Keuntungan Berlebihan akan diperkenalkan untuk menyekat peniaga yang sengaja mengambil keuntungan berlebihan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah mengadakan sekatan itu perlu untuk mengurangkan beban pengguna.

Menurutnya, peniaga sengaja mengambil kesempatan kenaikan harga barang asas dengan meningkatkan harga makanan seperti roti canai pada kadar tidak munasabah.

''Akta ini masih dalam perancangan di peringkat kementerian. Ia merupakan usaha kita memantau peniaga-peniaga yang sengaja menaikkan harga secara berlebihan.

''Bulan depan kita akan mula menghantar pegawai kementerian ke negara-negara yang sudahpun mengamalkan akta tersebut seperti di Korea Selatan, Singapura dan China untuk mengkaji dan mendapatkan maklum balas,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan tengah hari di Restoran Rakyat 1Malaysia yang dimiliki oleh Koperasi Ukhwah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Koperasi Ukhwah, Mustapa Kamal Maulut.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pengguna perlu menggunakan kuasa beli mereka dengan memboikot peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati.

Beliau berkata, tindakan sedemikian dapat mengelak pengguna daripada menjadi mangsa peniaga yang tamak dan mementingkan keuntungan semata-mata.

''Sudah sampai masa bagi pengguna mengambil langkah bijak dengan tidak membeli barang yang dijual dengan harga keterlaluan.

''Buatlah perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membeli kerana terdapat banyak pilihan bagi setiap barangan yang hendak kita beli.

''Sebagai pengguna, kita mesti menggunakan kuasa kita untuk memastikan harga barangan yang kita beli bukan ditentukan oleh peniaga semata-mata,'' ujarnya.

Katanya, pengguna juga tidak boleh bergantung kepada kerajaan untuk melindungi kepentingan mereka tetapi harus memainkan peranan bersama.