ISMAIL SABRI (dua dari kanan) berbual dengan pelancong dari Amerika Syarikat, Barret Parkman dan Jessa Parkman yang makan di Restoran Rakyat 1Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan Akta Antikeuntungan Berlebihan tidak lama lagi bagi mengawal peniaga daripada mengaut keuntungan melampau sehingga menjejaskan kepentingan pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akta tersebut kini dalam peringkat kajian dan kertas kerja mengenainya sedang dilaksanakan.
Sehubungan itu, pihaknya bakal melawat beberapa negara seperti Korea Selatan, Singapura dan Australia bagi mengkaji kaedah terbaik melaksanakan akta tersebut di negara ini.
"Kita akan menghantar para pegawai ke negara tersebut kerana mereka telah mempunyai akta berkenaan dan berjaya dilaksanakan dengan berkesan," katanya selepas meninjau promosi harga murah di Restoran Rakyat 1Malaysia milik Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah) di Lorong Medan Tuanku di sini semalam.
Jelas Ismail Sabri, akta tersebut perlu memandangkan ada peniaga sengaja mengambil untung berlebihan apabila terdapat kenaikan barangan asas atau harga minyak.
Sebagai contoh beliau melihat harga roti canai di negara ini yang berlainan harga dan harga-harga tersebut jauh lebih menguntungan dari kos sebenar.
" Kita lihat ada restoran seperti yang ditunjukkan Ukhwah mampu menurunkan harga roti canai semurah 40 sen sahaja sedangkan ada restoran menjual roti canai sehingga RM1.60," katanya.