Kukuhkan integrasi dalam koperasi
KUCHING, Rabu- Kerjasama harus diwujudkan antara koperasi sekolah dan koperasi dewasa di negara ini, kata Naib Yang Di Pertua ANGKASA Haji Mustapha Kamal Maulut.
Berucap di Program Hari Koperasi Sekolah 2009 di Sekolah Sukan Negeri SMK Tabuan Jaya hari ini, katanya, sebagai contoh, Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (UKHWAH) kini menganjurkan pakej pelancongan bermotivasi (motivasi dalam ekspedisi) sebagai salah satu cara mengukuhkan integrasi dalam koperasi.
"Pakej ini disediakan melalui sayap pelancongan Koperasi UKHWAH yang menggarapkan elemen pelancongan dan motivasi (dua dalam satu)," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Koperasi UKHWAH berkata, sepanjang perjalanan peserta akan dibimbing dengan program motivasi untuk mendorong kecemerlangan dan membina sahsiah diri.
"Objektif utama program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, di samping memiliki akhlak mulia dan moral yang tinggi," ujarnya.
Beliau juga menyatakan bahawa Koperasi UKHWAH menyediakan insentif bagi pelajar yang memiliki kedua-dua kriteria tersebut dengan meng-hadiahkan pakej pelancongan ke Australia dan London.
"Sebelum ini Ukhwah membawa pelajar-pelajar cemerlang melawat ke Vietnam, Beijing, Seoul dan Hong Kong," katanya.
Mustapha berharap dengan adanya Program Hari Koperasi Sekolah itu akan menarik minat pelajar-pelajar untuk menyertai koperasi.
Tema Hari Koperasi Sekolah (HKS) tahun ini ialah Integrasi Koperasi Sekolah dan Koperasi Dewasa Teras Kecemerlangan.
-Khamis 25 Jun 2009