Monday, February 23, 2009

Ukhwah sasar miliki hartanah RM300 juta


Oleh Ainul Asniera Ahsan


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Koperasi Pendidikan Islam Malaysia (Ukhwah) menyasarkan untuk memiliki hartanah bernilai RM300 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusinya, Mustapa Kamal Maulut berkata, pihaknya sedang mengintai peluang bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara terutama di Mekah, Madinah, London dan Australia.
Menurut beliau, Ukhwah yang ditubuhkan sejak 11 tahun lalu, kini memiliki pelbagai hartanah termasuk jenis komersial, kediaman dan industri bernilai RM120 juta di lokasi strategik di ibu negara.
Antara lokasi hartanah milik Ukhwah di Taman Titiwangsa, Denai Alam, Shah Alam, Plaza Damas, Bandar Tun Razak dan Bandar Tasik Permaisuri.
Yang terbaru, Ukhwah membeli 24 banglo tiga tingkat yang bernilai RM2.8 juta seunit di Sri Hartamas.
''Kini kami menyasarkan untuk memiliki hartanah di sekitar KLCC, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Iskandar Malaysia'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, pelaburan yang dibuat oleh Ukhwah, sekali gus memberi peluang kepada Bumiputera menceburi bidang hartanah apatah lagi ia merupakan koperasi tunggal di Kuala Lumpur yang memiliki hartanah dengan nilai yang besar.
Menurut beliau, peluang pelaburan itu terbuka kepada semua individu dan badan-badan pertubuhan dengan jumlah pelaburan minimum sebanyak RM1,000 hingga RM50,000.
Untuk permulaan, Ukhwah menawarkan pulangan lima peratus setahun daripada jumlah pelaburan, ujarnya.
Mustapa Kamal menjelaskan, pelaburan yang dibuat oleh Ukhwah itu bertepatan dengan Dasar Ekonomi Baru yang menyasarkan pemilikan 30 peratus pemilikan aset hartanah.
''Sebenarnya, Bumiputera mampu dan berupaya menguasai lebih banyak hartanah di lokasi-lokasi strategik yang sebelum ini hanya dimiliki oleh kaum lain,'' tambah beliau.
Katanya, penguasaan hartanah oleh Bumiputera sekiranya ada koperasi yang lebih besar seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) turut serta dalam pelaburan itu.
''Kami sedia menawarkan pengalaman dan kepakaran kepada mana-mana koperasi yang berminat,'' tambah beliau.