Tanjung Karang: “Saya pernah ternampak logo UKHWAH ni pada tahun lepas. Waktu itu memang saya tak rasa apa-apa dan memang tak ambil tahu tentangnya. Tetapi saya terkejut apabila UKHWAH mengambil sekolah tempat saya mengajar, Sekolah Kebangsaan Seri Segambut menjadi ‘anak angkat’.
“Dan saya tambah teruja apabila UKHWAH telah menaja saya dan tiga pelajar sekolah ini untuk percutian ke Hong Kong. Bagi saya sumbangan UKHWAH sangat besar kerana ia menjadi pendorongan kepada pihak sekolah untuk meningkatkan pencapaian sama ada dalam pendidikan atau sahsiah.
“Saya bersyukur dengan peluang ini. Ini merupakan satu bonus kepada sekolah kami. Bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini”, jelas Cikgu Fadli Bin Haji Lebai Saaban, salah seorang guru pengiring kepada pelajar yang terpilih.
Tiga orang bekas pelajar tersebut, yang telah mendapat kelulusan terbaik dalam peperiksaan UPSR telah terpilih untuk menyertai lawatan ini.
Nursyuhaida Binti Azman merasakan peluang ini terlalu istimewa baginya. Ia bagaikan mimpi, tidak pernah terfikir bahawa ia akan melawat ke Hong Kong.
Menurut Cikgu Radziah Ismail, guru dari SMK Tiram Jaya, yang memang aktif menyertai beberapa buah koperasi, Koperasi Ukhwah memang berbeza. Pencapaiannya dalam perniagaan dan pengurusan ahli koperasi sangat luar biasa. Selain dividen yang tinggi, koperasi juga mampu menjalankan aktiviti kemasyarakatan.
“Lihat saja hari ini, ini bukan kali pertama koperasi menaja pelajar keluar negara. Ini membuktikan koperasi ini amat berdaya maju dan berjaya dalam perniagaan yang dijalankan,” ujar Cikgu Rodziah lagi.
Beliau amat bersyukur dan berjanji akan menjadi lebih aktif untuk menyertai koperasi. Beliau akan memberi pendedahan kepada penduduk kampung tentang kelebihan menyertai koperasi. Beliau yakin, ramai penduduk yang 90% daripadanya adalah golongan petani akan menyertai koperasi.
Pelajar yang terpilih dari SMK Tiram Jaya, Nurul Amira Binti Aslan dan Nor Amiera Binti Mohd Saleh, menyatakan rasa gembira yang tidak terhingga. Mereka tidak mampu meluahkan keseronokan itu dengan kata-kata.
Seramai 24 pelajar dan enam guru pengiring telah menerima tiket penerbangan ke Hong Kong. Segala perbelanjaan, dari tiket penerbangan hinggalah wang poket peserta telah ditaja oleh Koperasi Ukhwah.
Tuan Haji Mustapa Kamal Maulut, Pengerusi Koperasi Ukhwah merangkap Naib Yang DiPertua Angkasa ( NYDP ) berharap agar segala program yang dirancang akan dapat menyuntik semangat kepada para pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh sehingga melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara.