Tanjung Karang: Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi akan meneruskan usaha untuk memberi pendedahan kepada seluruh masyarakat tentang kelebihan menyertai koperasi. Ini termasuk kepada masyarakat luar bandar yang mungkin selama ini tidak tahu tentang faedah-faedah apabila menjadi ahli koperasi, kata menterinya, Dato Noh Haji Omar.
Dalam majlis Penyerahan Tiket Penerbangan Ke Hong kong kepada pelajar dan guru sekolah terpilih di Daerah Tanjung Karang, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Koperasi Ukhwah kerana telah menaja segala perbelanjaan tersebut. Pelajar yang dipilih merupakan pelajar yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR yang lalu.
“Ini merupakan contoh yang terbaik apabila menyertai koperasi. Selain dividen yang tinggi untuk setiap ahli, koperasi juga mampu untuk menganjurkan aktiviti yang boleh membantu masyarakat.
“Siapa yang sangka, anak-anak kita yang duduk diluar bandar ini boleh melancong ke Hong Kong, boleh merasa naik kapal terbang, merasai sendiri pengalaman yang selama ini hanya boleh didengar atau dilihat dalam media masa.
“Malah Koperasi Ukhwah juga telah menaja pelajar melancong sambil belajar di Vietnam, China dan Korea. Ini mendedahkan pelajar kepada dunia luar, tentang budaya, kemajuan, iklim dan sebagainya. Bukankah ia merupakan aktiviti koperasi yang amat bermanfaat?” tambah Dato Noh lagi.
Melihat dari kejayaan program yang dianjurkan di Tanjung Karang ini, kementerian berhasrat akan mengadakan lebih banyak pelancaran program koperasi di kawasan luar bandar. Tujuannya agar masyarakat luar bandar akan mendapat pendedahan dan maklumat tentang koperasi.
Cikgu Fadli Bin Haji Lebai Saaban dari SK Seri Segambut dan Cikgu Radziah Bt Ismail dari SMK Tiram Jaya yang ditemui selepas majlis penyerahan tiket mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Bagi mereka, peluang yang diberi oleh Koperasi Ukhwah adalah sesuatu yang pasti tidak dapat dilupakan sehingga akhir hayat. Mereka berjanji akan meningkatkan lagi usaha mereka untuk memajukan sekolah.
Sekembalinya dari Hong Kong nanti, mereka berhasrat untuk berkempen kepada guru-guru dan masyarakat setempat agar menyertai koperasi, terutamanya Koperasi Ukhwah.
Pelajar yang ditemui pula menyatakan rasa terkejut dan teruja kerana tidak menyangka akan diberi peluang yang diluar jangkaan seperti itu, seolah-olah seperti mimpi. Selain akan belajar bersungguh-sungguh, mereka juga berhasrat untuk bercerita kepada ibubapa dan keluarga mereka tentang sumbangan koperasi Ukhwah kepada masyarakat.