Wednesday, November 4, 2009

Koperasi Ukhwah bantu beli kaki palsu

Utusan Malaysia 04 Nov. 2009

Dato Hj. Mustapa Kamal Maulut (lima dari kanan), Pengerusi Koperasi Ukhwah menyerahkan replika cek bantuan kepada Omi Kalsom Mohamed sambil disaksikan oleh Rahim Baba (empat dari kanan) dan Syed Ali Alhabshee pada majlis di Kuala Lumpur, kelmarin.


KUALA LUMPUR 3 Nov. – “Bantuan yang diberi oleh Koperasi Ukhwah untuk pembelian kaki palsu benar-benar meringankan beban kami sekeluarga. “Saya tidak sangka keperitan hidup mengumpul duit untuk membeli kaki palsu akhirnya didengar pihak Ukhwah.”


Itu luahan hati Omi Khalsom Mohamed, 53, selepas menerima bantuan wang tunai untuk pembelian kaki palsu oleh Koperasi Ukhwah dalam satu majlis ringkas di Restoran Rakyat 1 Malaysia di sini semalam.


Beliau yang menderita sejak dua tahun lalu akibat dipotong kaki selepas mengidap penyakit kencing manis benar-benar terharu dan bersyukur di atas sumbangan yang diterima.


Turut hadir, Penasihat Koperasi Ukhwah, Datuk Rahim Baba, Pengerusi Koperasi Ukhwah, Datuk Mustapa Kamal Maulut dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.
Ketika ditemui, Rahim menjelaskan, bantuan yang diberi adalah tanggungjawab Koperasi Ukhwah sendiri dalam misi membantu masyarakat.


Katanya, individu yang memerlukan bantuan boleh terus menghubungi pihak koperasi dan bantuan akan diberi mengikut kadar yang akan ditetapkan.


“Kami mahu membantu... kami minta mana-mana individu yang memerlukan bantuan tampil segera.


“Ini tanggungjawab yang harus dilaksanakan setiap insan. Mana yang perlu bantuan harus dibantu dan tidak boleh dipinggirkan,” ujarnya.